ARTIKEL

PETROS, PETRONAS dan kejutan gembira

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RUPA-RUPANYA masih ada yang tidak berpuas hati apabila Sarawak menggerakkan usaha dan berjaya dalam menuntut haknya terhadap pemilikan padang dan lombong minyak dan gas di kawasan tanah dan laut miliknya.

Malah, mereka mengatakan tindakan Sarawak itu salah, tidak patriotik, malah mampu menjejaskan PETRONAS – syarikat nasional yang ditubuhkan untuk mengurus, mencari gali dan menjual minyak dan gas di negara ini.

Benar, kebanyakan fakta mereka bersandarkan kepada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, namun perkara ini telah dibawa ke mahkamah oleh Kerajaan Sarawak, dan ternyata mereka menang kerana fakta sejarah dan perundangan yang berpihak kepadanya.

Atas apa alasan sekalipun, tiada siapa dapat mengubah fakta bahawa Sarawak telah memiliki undangundang berkaitan perlombongan sejak sebelum penubuhan Malaysia — yang menjadi sumber utama menepis penggunaan akta selepas pembentukan Malaysia terhadapnya.

Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 diwujudkan ketika Sarawak di bawah pentadbiran Koloni British dan memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia industri minyak dan gas di Sarawak.

Ia juga memperuntukkan hak untuk Kerajaan Negeri mengeluarkan lesen dan permit untuk aktiviti perlombongan minyak di negeri ini.

Selain itu, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani semasa pembentukan Malaysia, memberikan Sarawak autonomi tertentu, termasuk kawalan ke atas sumber asli seperti minyak dan gas.

Ini termasuk hak untuk mengawal sumber asli di wilayah darat dan perairan negeri.

Akta Laut Wilayah yang dipinda pada tahun 2012 (sebelum Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak) pula menyebut bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah sehingga 12 batu nautika dari garis pantai.

Ia memperkukuh hak Sarawak untuk menguruskan sumber asli dalam lingkungan ini.

Kuasa perundangan lain yang memberi kuasa kepada Sarawak sebagai nota kepada pengkritik ialah pindaan Perlembagaan Persekutuan (2019).

Pindaan ini bertujuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia, memberi lebih kuasa autonomi kepada Sarawak termasuk kawalan ke atas sumber asli mereka.

Manakala Ordinan Sumber Asli (Sumbangan Kewangan dan Peraturan) yang diluluskan pada 2018, membolehkan Kerajaan Negeri Sarawak menuntut royalti dan pembayaran lain yang berkaitan dengan pengeluaran minyak dan gas di negeri ini.

Kanun Tanah Sarawak pula memperuntukkan hak Kerajaan Sarawak untuk mengawal selia semua bentuk penggunaan tanah, termasuk tanah yang digunakan untuk aktiviti minyak dan gas.

Dan kini ia melebar ke laut lepas.

Dasar laut, yang juga merupakan permukaan tanah.

Ternyata Sarawak tidak “acahacah” dalam urusan menuntut pengawalan terhadap minyak dan gas ini setelah mereka menjadi pemerhati untuk sekian lama, dan sekadar mendengar, hasil buminya disedut PETRONAS, tanpa memberi pulangan setimpal – hanya lima peratus.

Justeru, apabila Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggunakan segala kesempatan “politik” untuk menuntut hak Sarawak ini, ia mendapat sokongan luar biasa rakyat negeri ini.

Ini bukan pariokal, tetapi dengan kesedaran bahawa Sarawak untuk sekian lama terbiar, manakala hak yang ada terhakis disebabkan oleh elemen “politik” dan “keamanan”.

Sebenarnya, tindakan Sarawak tidak salah, kerana ia masih mengutamakan sifat bernegara dalam sebuah negara bernama Malaysia. Ia menuntut autonomi berdasarkan hak dan janji, dan bukannya menuntut autonomi penuh.

Kerana itu juga, apabila Abang Johari mengambil inisiatif menubuhkan syarikat minyak negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), ia menjadi kejutan yang menggembirakan.

Menubuhkan PETROS pada 6 Ogos 2017 bukan suatu perkara yang mudah.

Apatah lagi peranannya sebagai pengawal selia dan pengurus sumber minyak dan gas di Sarawak secara lebih langsung.

Pada awalnya, memang banyak pihak yang skeptikal dan meragui tindakan Kerajaan Sarawak itu, namun “langkah pertama” mesti dilakukan.

Hari ini, PETROS menjadi antara pemain industri minyak yang disegani kerana diberi mandat untuk mengurus dan mengawal selia sumber minyak dan gas di Sarawak.

Ini termasuk pemberian lesen dan permit bagi aktiviti cari gali dan pengeluaran minyak dan gas.

Syarikat ini juga berperanan mempromosikan pembangunan industri minyak dan gas tempatan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

Pada masa yang sama, ia juga berusaha memastikan berlaku pemindahan teknologi dan pengetahuan serta pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan dalam industri ini.

Selepas tujuh tahun, PETROS kini jelas memainkan peranan penting untuk membolehkan Sarawak mendapat manfaat maksimum daripada hasil minyak dan gasnya.

Ini termasuk meningkatkan royalti dan pendapatan lain.

PETROS malah bertanggungjawab memastikan semua operasi minyak dan gas di Sarawak mematuhi undang-undang dan peraturan negeri serta standard alam sekitar yang ketat.

Ini untuk memastikan pembangunan yang mampan dan meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar.

Bagi para pengkritik, hadamlah apa yang dilakukan bersama oleh PETROS, PETRONAS dan SEDC Energy di Sarawak.

Mereka kini bekerjasama dalam perkongsian teknologi dan sumber untuk memastikan kecekapan operasi dalam pengeluaran dan pengurusan minyak dan gas di Sarawak.

Ini termasuk penggunaan teknologi canggih dan amalan terbaik dalam industri bagi meningkatkan produktiviti dan keselamatan operasi.

PETROS dan Petronas malah berkongsi beban dan risiko dalam pengurusan serta operasi industri minyak dan gas di Sarawak.

Ini mengurangkan tekanan kewangan dan operasi PETRONAS. Kerjasama antara PETROS dengan PETRONAS juga membawa kepada peningkatan kecekapan operasi melalui perkongsian sumber, kepakaran, dan teknologi.

Sinergi ini dapat mempercepat proses pengeluaran dan pengedaran sumber tenaga.

Ia juga sebenarnya membantu memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.

Ini boleh mengurangkan ketegangan politik dan membina kerjasama yang lebih baik dalam pengurusan sumber semula jadi tanpa perlu bersaing.

Malah kerjasama kedua-duanya membolehkan usaha pencarian padang minyak dan gas yang baharu menjadi mudah.

Justeru benarlah kata Abang Johari bahawa kedua-dua syarikat ini sebenarnya saling membantu dan umpama adik beradik.

Keupayaan PETROS membantu menarik pelaburan ke dalam Sarawak, yang secara tidak langsung menguntungkan PETRONAS melalui peningkatan aktiviti ekonomi di sektor minyak dan gas.

Pelaburan ini juga mendorong pembangunan infrastruktur yang lebih baik yang dapat digunakan oleh kedua-dua syarikat.

Apabila PETROS menguruskan operasi tempatan, PETRONAS boleh memfokuskan usaha mereka untuk meneroka dan mengembangkan pasaran baharu di luar Sarawak.

Ini memberikan peluang untuk PETRONAS meningkatkan pendapatan dan memperluas pengaruh mereka di peringkat global.

Kerjasama ini secara tidak langsung adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas.

Ia juga memastikan manfaat yang diperoleh daripada sumber ini dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri secara menyeluruh.

Selain itu, di Sarawak, unjuran pendapatan minyak dan gas untuk wilayah itu dari tahun 2025 hingga 2030 menunjukkan potensi pertumbuhan yang signifikan berdasarkan beberapa inisiatif dan pelan strategik yang sedang dilaksanakan.

Sarawak kini sedang giat melaksanakan Sarawak Gas Roadmap (SGR), yang bertujuan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber gas yang banyak di negeri tersebut.

Pelan ini dirancang untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 10 peratus dan mencipta ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Antara langkah penting dalam pelan ini adalah peningkatan bekalan gas domestik sehingga 1200 mmscf/d (juta kaki padu standard sehari) daripada 450 mmscf/d semasa, satu peningkatan lebih daripada 250 peratus.

Selain itu, McKinsey & Company dalam laporan mereka menyatakan bahawa permintaan gas akan terus berkembang sehingga tahun 2035 dengan pertumbuhan tahunan yang sederhana.

Ini mencerminkan keperluan dan penggunaan gas yang berterusan dalam industri dan sektorsektor lain.

Dalam konteks Malaysia, laporan daripada EIA (U.S. Energy Information Administration) menunjukkan unjuran harga gas semula jadi akan kekal stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, yang dapat memberikan Sarawak peluang untuk mengoptimumkan hasil daripada pengeluaran dan eksport gas.

Secara keseluruhan, pelaksanaan pelan strategik seperti SGR dan perkembangan positif dalam permintaan global untuk gas memberikan prospek yang cerah untuk pendapatan minyak dan gas Sarawak antara tahun 2025 hingga 2030.

Biarkan pengkritik bagai angin lalu kerana Sarawak berada di landasan yang tepat. Mereka mengkritik kerana mereka kecewa dan rasa ketinggalan.

Semakin Sarawak maju dengan industri minyak dan gasnya, ia sebenarnya memberi sumbangan yang besar kepada negara.

Dengan pengalaman yang semakin bertambah, PETROS dalam tempoh 10 tahun akan datang tidak harus bermain di gelanggang sendiri sahaja.

Ia perlu bermain di gelanggang lain untuk memastikan pendapatannya terus bertambah, peluang pekerjaan dan kemahiran terus meningkat dan kejayaannya terus gemilang.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

Sihat sebelum sakit

MANFAATKAN lima perkara sebelum lima perkara. Pertama, muda sebelum tua; kedua, sihat sebelum sakit; ketiga, kaya sebelum miskin; keempat, lapang sebelum sibuk dan kelima, hidup

Azam baharu hijrah

NABI Muhammad SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di situ bermula kisah Muhajirin dan Ansar bertaut persaudaraan, dan berkembangnya umat Islam lantaran tersebar ke

Ikhlas belajar

SEBELUM memasuki alam pekerjaan atau mengeluarkan titih peluh menjana pendapatan, sudah pasti terdapat mahasiswa mempunyai perancangan kerjaya sendiri. Ada antara mereka mengidamkan untuk bekerja mengikut

Jutawan 60 tahun

PENGARAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sarawak Aminuddin Abdul Aziz mendedahkan kepada Suara Sarawak — di Sarawak sekitar 1,700 daripada 850,000 pencarum daripada pelbagai

Di sebalik tabir Euro 2024

PENYOKONG fanatik England, Gordon Thomas, 39, ditangkap di Lapangan Terbang Manchester pada petang 18 Jun lalu, di bawah Akta Penonton Bola Sepak 1989 selepas kembali

BERITA TERBARU

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

Budak 5 tahun dijangkiti selesema burung

PHNOM PENH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Wilayah Takeo di selatan Kemboja disahkan dijangkiti selsema burung H5N1, menjadikan jumlah kes kepada tujuh sejak

Teroka tenaga kerja berkemahiran tinggi

BINTULU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering menjadi agenda utama pendidikan negara dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan industri

Nadin Amizah tampil memukau di Weekend Fest

PENYANYI dan artis Nadin Amizah tampil memukau pada hari kedua Weekend Fest 2024 di QBIG, Tangerang, Indonesia dengan mempersembahkan lapan buah lagu istimewa. Walaupun diiringi