SEBAGAI sebuah syarikat yang baharu berusia lima tahun, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berjaya mencatatkan
pencapaian signifikan apabila meraih pendapatan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun lalu.
Ia sekali gus meletakkan PETROS antara barisan syarikat berbilion ringgit dengan prestasi kewangan yang teguh dan mendapat penarafan AAA daripada RAM Ratings.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah syarikat minyak negeri itu sedang mengalami pertumbuhan pesat termasuk membiayai ekuiti dan mendapatkan pembiayaan sendiri.
“PETROS juga sedang mengembangkan ekuitinya dalam asas sumber hidro karbon iaitu ruang penerokaan dan pengeluaran luar pesisir dengan masing-masing mempunyai tiga kontrak perkongsian.
“Justeru, kita semua harus berbangga dengan pencapaian PETROS setakat ini serta sasaran beraninya dalam merebut beberapa
peluang lain ketika baharu meraikan ulang tahun kelima penubuhannya,” katanya.
Menurut Abang Johari, semasa beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan pada 2017, PETROS ialah entiti pertama yang ditubuhkannya untuk memenuhi aspirasi rakyat supaya mereka dapat menikmati kekayaan sumber asli negeri ini.
Ujarnya, penubuhan syarikat ini adalah untuk menjadi peneraju penyertaan Sarawak dalam eksploitasi secara teratur sumber minyak dan gas, pada masa yang sama menjaga kepentingan negeri ini.
“Malah, kita perlu mengeksploitasi potensi sumber dengan cara yang agresif dan bertanggungjawab untuk mengembangkan ekonomi Sarawak.
“Sekali gus menghilangkan pandangan dan tanggapan “negeri kaya tetapi miskin”.
Sumber minyak dan gas kita perlu dibangunkan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, kualiti prasarana dan kemudahan asas negeri sejajar dengan visi menjadi sebuah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,”tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak memerlukan kerajaan yang stabil dan kukuh untuk meneruskan usaha sedia ada untuk meningkatkan ekonomi negeri.
“Sebagai ketua kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), saya dan rakan sekerja berusaha untuk memastikan Sarawak berada di barisan hadapan negara dan rantau ini,” tambahnya.
PETROS diberi tanggungjawab untuk mengurus, mengawal dan membangunkan sumber minyak dan gas negeri ini.