KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) diamanahkan untuk mengurus sumber dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting kerana potensi negeri ini dalam meneroka CCUS boleh berada pada skala dunia.
“Negeri kita diberkati dengan struktur geologi yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida dan potensinya boleh berada pada skala dunia.

“Ini kerana, industri CCUS bakal menggalakkan pembangunan rizab gas masam besar Sarawak yang mengandungi karbon dioksida dalam menjamin keselamatan tenaga jangka panjang, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan domestik melalui industri hijau dan menyediakan satu lagi sumber pendapatan kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Petros di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, katanya CCUS merupakan pemboleh ubah untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 apabila dunia secara beransur-ansur beralih daripada bahan api fosil berasaskan karbon.
“Justeru, saya mahu Petros berdasarkan kemahiran teknikalnya, menjadi pengurus sumber untuk CCUS dengan sokongan kementerian berkaitan.
“Malah, saya gembira kerana Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani perjanjian dengan Petros untuk kerjasama CCUS yang merupakan langkah pertama untuk membolehkan ekonomi hijau,” ujarnya.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha peralihan tenaga untuk meletakkan Sarawak menjadi hab pengeluar hidrogen di rantau ini sekali gus melengkapkan fasa pelan kerajaan.