Petugas guru perlu permit kelulusan dari polis untuk rentas negeri

KUCHING: Aktiviti rentas negeri melibatkan petugas guru yang ingin keluar Sarawak adalah dibenarkan sekiranya mendapat permit kelulusan daripada polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, permit tersebut dikeluarkan khas kepada guru-guru daripada Sarawak untuk balik ke Semenanjung sempena cuti persekolahan yang akan bermula 17 Disember, tahun ini.

Beliau bagaimanapun mengesahkan, kelulusan permit rentas negeri bergantung kepada keputusan hasil pemeriksaan kesihatan guru sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

“Bagi kawasan zon hijau kita tiada masalah untuk membagi pelepasan namun mana-mana guru yang bertugas di zon merah kita akan tengok keputusan hasil pemeriksaan KKM.

“Tindakan itu diambil untuk mendapatkan kesahihan bahawa mereka tidak membawa atau menjadi penular wabak setelah keluar dari Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya, permohonan permit boleh dilakukan di mana-mana balai polis berdekatan beserta dengan keputusan kesihatan yang telah dikeluarkan oleh KKM.

Sementara itu, tegas beliau, pergerakan rentas negeri ke Sabah mahupun Labuan masih belum dibenarkan berikutan kawasan itu masih dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi terdedah wabak Covid-19.

Katanya, mana-mana individu yang merentas negeri masuk ke Sarawak perlu melakukan kuarantin selama 14 hari.

Aidi berkata sedemikian selepas ditemui dalam sidang media dalam majlis penyerahan jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu, Datuk Fisol Salleh, hari ini.