Petugas perubatan New York berdepan tekanan mental

NEW YORK: Petugas kesihatan terutamanya mereka di bahagian unit rawatan rapi (ICU) yang berjuang untuk memastikan pesakit Covid-19 dapat terus hidup di hospital New York, dilaporkan berdepan kesan kesihatan mental.

Salah seorang jururawat, Debbie Sanchez, mengatakan dia kini mengalami kebimbangan melampau. Dia terpaksa bekerja syif selama 12 jam memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) sejak New York mencatat antara kes Covid-19 tertinggi di AS bulan lalu.

Sanchez, 57, bertugas di unit kecemasan di Hospital Montefi ore di Bronx sebelum dipindahkan membantu bahagian ICU. Dia bukan jururawat ICU yang terlatih, menyebabkan setiap hari dia berada dalam kebimbangan mungkin melakukan kesilapan dalam tugasannya.

Sachez juga belum berjumpa cucunya sejak lebih sebulan kerana bimbang kemungkinan risiko jangkitan penyakit tersebut. “Kesemua perkara yang berubah ini membuatkan hidup saya turut tertekan. Saya berdepan kesukaran tidur,” katanya kepada AFP. New York setakat ini merekodkan kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 42,500 kematian akibat Covid-19 di AS.

Seramai 14,000 orang di New York City dilaporkan meninggal dunia akibat virus tersebut. Selain itu, masalah kemurungan dan gelisah turut dihadapi oleh berbilion penduduk dunia yang berada dalam perintah berkurung di rumah, manakala pekerja profesional kesihatan pula berdepan kematian dengan risiko jangkitan yang tinggi setiap hari.

Sementara itu, pembantu ahli fi zik, Heather Isola berkata hari terburuk dilaluinya apabila salah seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 dan keadaannya dilaporkan teruk.

“Ia berkemungkinan saat yang paling ditakuti oleh kami yang terus dihantui kebimbangan kerana terpaksa melihat kematian seperti ini,” katanya. – AFP