TENGAH hari ini, pasukan sepak takraw lelaki Malaysia akan bertarung dengan pasukan negara jiran — Thailand membuat pingat emas dalam Sukan Asia 2026 di Jepun. Perlawanan akhir yang sudah dijangkakan melibatkan kedua-dua negara.
Pagi semalam, pasukan negara dipaksa berhempas-pulas menentang pasukan jaga dari negara jiran — Indonesia di peringkat separuh akhir.
Regu pertama Malaysia tewas, regu kedua menang. Regu ketiga Malaysia juga menang setelah melalui perlawanan yang mendebarkan.
Beza antara kedua-dua pasukan adalah dari segi pengalaman beraksi di peringkat tertinggi yang penuh dengan debaran dan ketegangan. Namun demikian, Indonesia kini boleh dianggap sebagai antara negara kuat dalam sukan tradisi ini.
Pembangunan pemain muda misalnya sudah menunjukkan hasil. Beberapa pemainnya sudah menunjukkan potensi sebagai ‘penakuk’ baharu sukan sepak takraw dunia. Sebabnya, beberapa pemain mudah mampu menyaiingi pemain Malaysia yang sudah biasa berentap dengan Thailand.
Tekong pasukan Indonesia misalnya menjadi kekuatan utama pasukan Indonesia yang digabungkan dengan pemain senior. Cuma sedikit kekurangan adalah dari segi kekuatan mental berdepan tekanan perlawanan berintensiti tinggi.
Melihat pasukan Malaysia pula, selepas ini akan ada kekosongan yang perlu diisi pemain lain. Dengar-dengar ada beberapa pemain membayangkan Sukan Asia 2026 adalah penampilan terakhir mereka.
Seperti biasa, posisi mereka ini akan diisi oleh pemain sedia. Persoalannya, siapa yang akan mengisi kekosongan lain? Jawapannya segera ialah pemain muda. Thailand sudah mengetengahkan pemain muda mereka. Begitu juga dengan Indonesia yang sudah menunjukkan potensi. Jadi, Malaysia juga perlu lebih agresif mengetengahkan pemain muda.
Kita ada pemain muda, cuma pemain yang berpotensi mewakili negara tidak ramai. Melihat media sosial, tidak banyak video yang memaparkan pemain muda yang bertanding ataupun sekadar bermain pada waktu petang. Ia berbeza dengan Indonesia dengan banyak video tentang sepak takraw dikongsikan.
Dahulu, pada waktu petang di sesebuah kampung, tidak sukar untuk kita melihat permainan sepak takraw, disusuli sorakan budak-budak yang bermain di halaman surau atau di tanah lapang berhampiran sekolah.
Sepak takraw ketika itu menjadi permainan semula jadi bagi kanak-kanak, dimainkan tanpa jurulatih, tanpa yuran dan tanpa jersi rasmi. Hari ini, pemandangan itu semakin jarang dilihat, termasuk di Kuching.
Kini, ramai kanak-kanak menunduk tekun menrenung skrin telefon. Persoalannya, siapakah yang akan menggalas cabaran sepak takraw negara pada masa depan? Sepak takraw bukan sukan asing bagi rakyat Malaysia. Akarnya tertanam dalam budaya Melayu dan rantau ini, dan namanya sudah lama dikenali di pentas Asia Tenggara.
Malaysia menjadi pesaing yang digeruni, namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan sejarah. Negara jiran, terutama Thailand, terus menetapkan piawaian yang tinggi, dan pesaing lain semakin agresif meningkatkan mutu permainan.
Dalam sukan bola 12 lubang yang tersirat di dalamnya kepantasan tindakan, kelenturan badan dan ketepatan fikiran, setiap tahun yang berlalu tanpa pelapis baharu adalah tahun yang memberi kelebihan kepada lawan.
Sepak takraw antara sukan yang paling menuntut dari segi fizikal dan teknikal. Seorang pemain perlu memiliki kelenturan badan yang luar biasa, keseimbangan yang mantap, refleks yang tajam dan keberanian melakukan sepakan gunting atau sepakan kuda di udara.
Kemahiran sebegini tidak boleh dipelajari dalam masa singkat, ia dibina sejak usia muda, ketika tubuh masih mudah dilentur dan minda belum dibebani rasa takut.
Pemain yang bermula pada usia 20-an sudah terlewat berbanding pesaing yang telah mengasah asas sejak kecil. Itulah sebabnya usaha mencari dan melatih pemain muda tidak boleh ditangguhkan.
Malangnya, saluran pembangunan bakat kita sering bersifat bermusim. Kejohanan diadakan, bakat ditemui, kemudian tiada program berterusan untuk memupuknya. Ada pemain berbakat yang menyerlah di peringkat sekolah, tetapi hilang begitu sahaja selepas tamat persekolahan ataupun selepas Sukan Malaysia kerana tiada laluan yang jelas untuk terus maju.
Ibu bapa pula sering bertanya soalan yang wajar: adakah sukan ini menjanjikan masa depan? Jika jawapannya kabur, kita tidak boleh menyalahkan mereka apabila anak-anak disuruh menumpukan perhatian pada akademik sahaja.
Justeru, langkah pertama ialah program pengesanan bakat perlu turun ke daerah dan kampung, bukan hanya berlegar di sekolah sukan dan bandar utama. Bakat tidak mengendalikan lokasi. Mungkin ada seorang bintang masa depan yang kini bermain di sebuah kampung yang tidak pernah dilawati oleh mana-mana pencari bakat.
Langkah kedua ialah menyediakan laluan kerjaya yang telus. Seorang pemain muda perlu nampak tangga yang boleh didaki, daripada pasukan sekolah ke pasukan negeri, kemudian ke pusat latihan, dan seterusnya ke pasukan kebangsaan.
Pemain yang telah bersara pula perlu diberi peluang menjadi jurulatih atau pembimbing walaupun di peringkat kampung, supaya ilmu dan pengalaman mereka tidak lenyap begitu sahaja.
Langkah ketiga ialah menjadikan sukan ini menarik di mata generasi muda. Kita hidup dalam zaman media sosial, dan sepak takraw sebenarnya sangat sesuai dengannya. Sepakan guling apit kanan yang menjulang di udara adalah aksi yang memukau, layak ditonton berulang kali.
Persatuan dan penganjur boleh mempromosikan aksi terbaik, kisah pemain, dan pertandingan dalam format yang pendek dan mudah dikongsi. Jika Malaysia mampu mencipta kegilaan terhadap sukan lain, tiada sebab sepak takraw tidak boleh melakukannya juga.
Tentu ada yang berkata, sukan lain lebih glamor dan lebih banyak mendapat perhatian. Itu benar tetapi sepak takraw mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki banyak sukan lain. Ia lahir daripada budaya kita sendiri, dan kejayaan di pentas antarabangsa membawa maruah yang lebih dariipada sekadar pingat.
Apabila seorang anak muda Malaysia membang tinggi dan menyudahkan sepakan guling di hadapan penonton dunia, itu bukan hanya kemenangan sukan. Itu ialah pengiktirafan terhadap warisan yang kita jaga.
Akhirnya, tanggungjawab ini bukan terletak pada persatuan sukan semata-mata. Ibu bapa perlu memberi ruang dan galakan, guru perlu mengesan dan membimbing, pihak swasta perlu menyokong, dan masyarakat setempat perlu menghidupkan kembali tanah lapang yang sepi. Sukan hanya akan bertahan jika ada generasi yang mahu mewarisinya.
Bola sepak takraw itu masih ada, dan ruang untuk bermain juga masih ada. Yang kita perlukan ialah lebih ramai anak muda yang berani melangkah masuk ke gelanggang, dan lebih ramai orang dewasa yang sanggup membuka jalan untuk mereka.
Jika kita bertindak sekarang, sepak takraw Malaysia akan terus tinggi melambung. Jika kita berlelang, kita hanya akan menjadi penonton kepada kejayaan orang lain.





