PGA berjaya rampas rokok, minuman keras bernilai RM723,600 di Betong

BETONG: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas barangan seludup berupa rokok dan minuman keras bernilai RM723,600 dalam satu serbuan di sebuah setor dekat Kampung Melaban, Khamis lalu.

Menurut Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu Deputi Superintendan Frediel Nyambong, serbuan kira-kira 3.00 petang itu dilakukan Cawangan Risik Kompeni C Batalion 10 PGA Sri Aman.

Katanya, rampasan rokok pelbagai jenis dan jenama serta minuman keras tersebut disyaki tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Hasil serbuan pasukan kita berjaya merampas 25 karton minuman keras jenama SGN.

“Selain 2,195 karton atau 439,000 batang batang rokok putih pelbagai jenama dan 700 karton @ 101,200 batang rokok kretek pelbagai jenama termasuk sebuah van Toyota,” katanya dalam sidang media di IPD Betong, semalam.

Jelasnya, dua lelaki tempatan yang dipercayai merupakan pemilik dan pekerja setor turut ditahan.

Kesemua barang rampasan dirampas di bawah kesalahan Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Suara Sarawak