PGA Briged Sarawak usir lima warga asing cuba memasuki Sarawak secara tidak sah

KUCHING: Cubaan lima lelaki warga Indonesia memasuki negeri ini secara tidak sah telah berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.

Menurut Komander PGA Briged Sarawak, SAC Mancha Ata, anggotanya terserempak dengan kelima-lima suspek dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan Op Benteng di sekitar jalan ladang sawit SOPB Batu Lintang, Sri Aman di sempadan Malaysia-Indonesia pada 9.50 pagi semalam.

“Dengan menunjukkan kad kuasa polis, pengadu serta empat anggota telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap suspek.

“Hasil pemeriksaan, kelima-lima suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, kes disiasat dibawah seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1969 dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pengusiran telah dilakukan terhadap suspek melalui jalan yang digunakan untuk memasuki sempadan Malaysia-Indonesia,” kata Mancha.

Tambahnya, tiada sebarang kekerasan dan sentuhan pada tubuh badan dilakukan sepanjang pemeriksaan.

Suara Sarawak