PGA gagalkan cubaan seludup 44 silinder gas

SERIAN: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan dua aktiviti seludup Gas Petroleum Cecair (LPG) dan gula kasar bernilai RM86,050.80 di Serian, pada Ahad.

Unit pengurusan media dan publisiti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya ada menerima serahan kes tersebut, semalam.

Menurut kenyataan itu, hasil tangkapan pada awalnya menahan dua kenderaan iaitu lori dan sebuah Toyota Hilux yang berisi barang kawalan bersubsidi berkenaan.

“Siasatan awal KPDNHEP mendapati tertuduh tidak memiliki lesen atau dokumen kebenaran dalam menjalani urusniaga barang kawalan tersebut.

“Sebanyak 24 Kilogram gula bertapis kasar dan 44 silinder Gas Petroleum Cecair (LPG) jenama Petronas telah disita susulan tangkapan,” kata kenyataan itu.

BUKTI… Anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa hasil tangkapan barang kawalan yang ditangkap oleh PGA di Serian pada Ahad

Tambahnya, kesemua barangan kes termasuk kenderaan pengangkut itu telah disita untuk tindakan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” ulas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut mendedahkan jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan sekiranya ia satu pertubuhan perbadanan.

Dalam pada itu, tegasnya, pihaknya bersama pihak penguatkuasa lain akan terus memantau serta menjalankan pemeriksaan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan bersubsidi.