PGA selamatkan hidupan liar terlindung di Sarawak bernilai hampir RM70,000

KUCHING: Spesies burung Eclectus Parrot, Cockatiel dan Budgerigar adalah antara 65 ekor hidupan liar terlindung dan terancam yang berjaya diselamatkan dalam Ops Bersepadu Khazanah Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di daerah Bau dan Sibu semalam.

Timbalan Komander PGA Briged Sarawak ACP Kaderi Said dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua hidupan liar yang dianggarkan bernilai hampir RM70,000 itu ditemui dalam kurungan di dua premis masing-masing di Bau dan Sibu.

“Semasa pemeriksaan di sebuah rumah di Bau, sebanyak 63 ekor burung pelbagai spesies yang terlindung dianggarkan bernilai RM68,600 ditemui dalam beberapa sangkar dan seorang lelaki berumur 45 tahun dipercayai pemilik premis itu telah ditahan,” katanya.

Dalam satu lagi pemeriksaan, seekor monyet dan seekor landak, dianggarkan bernilai RM1,200 yang dikurung dalam dua sangkar berasingan ditemui di luar sebuah premis di Sibu dan pemilik premis, seorang lelaki berumur 48 tahun turut ditahan.

“Kesemua hidupan liar terbabit diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation Kuching dan kedua-dua lelaki yang ditahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak