SERIAN: Seorang tekong darat dicekup ketika mengangkut 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan sebuah van, pada Rabu.
Kenderaan dinaiki kesemua suspek dikesan sekitar jam 8 malam oleh Pasukan Khas Batalion 12 Pasukan Gerakan Am dalam keadaan mencurigakan berhenti di tepi jalan Kampung Tesu Kura, Tebedu.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Mancha Ata mengesahkan kejadian itu dan berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan terbabit dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun, disyaki dalang aktiviti penyeludupan Pati berkenaan.
“Suspek ditemui membawa enam lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga wanita kesemuanya warga Indonesia berusia lapan hingga 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
