PH tolak kebebasan bersuara

KUCHING: Saya tidak mempunyai niat untuk memfitnah atau menafikan pentadbiran Kerajaan PH, kata Michael Tiang ketika memberi respons terhadap laporan polis dibuat oleh Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon.

Ketua Pemuda SUPP itu berkata, kenyataan itu kerana beliau bercakap adalah bagi rakyat Sarawak mengenai
dasar-dasar PH.

“Jika dasar yang dibuat oleh PH untuk manfaat rakyat, mereka tidak perlu risau mengenai apa-apa kritikan awam,” katanya semalam.

Pada 19 Disember lalu, Dr Tiong membuat laporan polis di Miri yang mendakwa Micheal Tiang telah menjatuhkan reputasi Kerajaan PH dengan mengaitkan isu penutupan Klinik 1Malaysia dan Balai Polis Komuniti.

Laporan itu dibuat susulan kenyataan dikeluarkan oleh Micheal Tiang pada 15 Disember mengenai penutupan dua pusat komuniti itu kerana Kerajaan PH tidak mampu menanggung kos sewa yang tinggi.

Menurut Tiang, ekoran laporan sudah dibuat oleh PH, mereka harus membiarkan polis menjalankan siasatan sepenuhnya.

“Sebelum ini Kerajaan PH berjanji dengan rakyat Malaysia untuk menerima semua kritikan dan konsep kebebasan bersuara sejak berkuasa pada Mei lalu.

“Bagaimanapun, janji itu sudah jelas dimungkiri. Buktinya, Dr Tiong membuat laporan polis terhadap kenyataan awam yang saya buat,” tegasnya.

Beliau menasihati Dr Tiong dan Kerajaan PH supaya memastikan dahulu semua janji pilihan raya ditunaikan terutama janji kepada rakyat Sarawak.

“Dr Tiong perlu menghabiskan lebih banyak masa untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pentadbiran dan dasar PH seperti sebelum pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenainya, Tiang mengemukakan bukti pada 13 Disember lalu, sebuah balai polis komuniti di Bandar Teknologi Kajang yang sudah beroperasi selama 11 tahun yang lalu, diarahkan tutup kerana masalah bayar sewa.

“Malah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din memberitahu lapan stesen polis komuniti di negeri itu juga dicadangkan untuk ditutup,” jelasnya.

Justeru jelas Tiang, Kerajaan PH harus menjawab semua pertanyaan rakyat termasuk kereta terbang kerana sebagai kerajaan dipilih oleh rakyat, PH perlu bertanggungjawab menjawab setiap persoalan.

Suara Sarawak