Piala Abang Johari: Pantai Damai FC juara!

SEPERTI yang diramal pasukan pilihan, Pantai Damai FC (PDFC) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Abang Johari 2019/2020 setelah mengalahkan pasukan 3 Lions Rakan Cop 3-1 dalam aksi final di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching petang tadi.

PDFC mendahului seawal minit ketujuh menerusi bekas pemain Sarawak, Mohammad Hafiz Abu Bakar. Gol sendiri Mohd Muizzudin Muqri Mazalan pada minit ke-37 menggandakan jaringan PDFC untuk mendahului 2-0.

Namun 3 Lions Rakan Cop merapatkan jurang pada minit ke-45 menerusi Iqmal Mustaqkim Kamrodin.

Bagaimanapun, penyerang sensasi PDFC Wan Badzreen Wan Yusuf menjaringkan gol ketiga pada minit ke-72 untuk membunuh perjuangan 3 Lions.

Ketua jurulatih PDFC, Samsul Napiah melahirkan kesyukuran dengan kejayaan tersebut.

“Ia adalah hasil kerja keras semua pemain bagi menebus kegagalan dalam saingan Liga Kuching LSC 2019,” katanya.

Menurutnya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi walaupun hilang fokus pada separuh masa pertama.

“Separuh masa kedua menyaksikan kesemua pemain membaiki kesilapan dan menyerang kubu lawan habis-habisan,” ujarnya.

Perlawanan turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Penasihat PDFC Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din dan Presiden Persatuan Bahagian Kuching (KDFA) Fazzrudin Abdul Rahman.

Dengan kejayaan itu, Pantai Damai FC membawa pulang habuan RM5,000.

Manakala 3 Lions Rakan Cop meraih RM3,000. Sementara itu, skuad nombor tiga bersama, Kasika CF dan Yayasan Sarawak masing-masing meraih RM1,000.

Sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan tersebut iaitu enam pasukan teratas Liga Kuching Lea Sports Centre (LSC) dan finalis Liga Lundu 2019, Fadzio FT dan Sileng United.

Suara Sarawak