
KUCHING: Skuad pelapis Kuching City FC bawah 23 tahun diundi berada dalam Kumpulan B bersama enam pasukan lain dalam saingan Piala MFL 2023 yang bakal bermula 2 Mac depan.
Pasukan terbabit akan bersama Selangor FC, Kuala Lumpur FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC dan Kelantan FC.
Ketua jurulatih Kamarudin Anuar memberitahu, pertembungan dijangka sengit selepas undian.
“Saya melihat undian kali ini seimbang kerana masing-masing belum diketahui kekuatan sebenar,” ujar Kamarudin kepada Arena Suara Sarawak.
Menurutnya, peluang semua pasukan untuk mara ke pusingan kedua juga terbuka dan seimbang.
Seramai 20 orang.pemain telah dipilih untuk menyarung jersi pasukan Kuching City FC bawah 23 tahun musim ini.
Himpunan terbabit antaranya bekas pemain skuad Sarawak United FC, Kuching City FC, Piala Presiden Sarawak United, Piala Presiden Kuching City FC selain pemain skuad pelapis dari Sabah dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu skuad berwajah baharu kendaliannya ketika ini fokus kepada latihan serta turut mengharungi beberapa aksi persahabatan.
“Para pemain sudah mengharungi beberapa aksi persahabatan menentang kelab handalan sekitar Kuching dan kelab dari bahagian lain,” tambah Kamarudin lagi.