ASAJAYA: Pasukan Empila Sahban memahat sejarah tersendiri muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-55 2023 yang melabuhkan tirainya petang semalam.
Empila Sahban nerjaya menumpaskan Tambirat United (4-3) menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua terikat tanpa jaringan pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya.
Kejayaan itu menyaksikan pemain Empila Sahban membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, pingat, jersi serta baucer pembelian barangan sukan bernilai RM1,000 tajaan Lea Sports Centre.
Manakala, hadiah wang tunai RM3,000 termasuk piala, pingat, jersi dan baucer pembelian barangan sukan RM600 tajaan Lea Sports Centre diterima pasukan Tambirat United selaku naib juara.
Dalam pada itu, wang tunai RM1,500 termasuk piala, pingat dan baucer untuk pembelian barangan sukan bernilai RM300 diterima pasukan KBSB 1 dan Kastom selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Ir Aidel Lariwoo mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kejohanan yang bermula pada 24 April lalu disertai 50 buah pasukan handalan sekitar Kuching dan Samarahan.
Hadir sam pada majlis tersebut Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, Timbalan Wali Kota Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kaunselor Abdul Muttalib Julaihi, Presiden Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB) Jalek@Lapok Jafar serta ketua-ketua masyarakat sekitarnya.