PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) memerlukan sedikit masa sebelum dapat memuktamad senarai penuh pemain yang akan menyarung jersi skuad pelapis Sarawak United III untuk menghadapi kempen Liga Piala Presiden 2021.
Naib Presiden FAS, Phillip Jabu memberitahu, ketika ini pihaknya melalui proses penilaian kearah itu termasuk meneliti dari pelbagai aspek.
“Kita belum memuktamadkan senarai pemain dan proses pemilihan masih lagi berlangsung kerana masih ada masa untuk tujuan itu,” ujar Phillip ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.

Katanya, besar kemungkinan senarai penuh skuad berwajah baharu akan dapat diketahui awal bulan Februari 2021.
Ketika ini para pemain skuad pelapis itu diberi cuti rehat beberapa hari selepas menjelajah ke dua bahagian iaitu Bintulu dan Miri.
Mereka akan kembali menyambung rutin harian pada 29 Disember ini dan menariknya sesi latihan itu kelak akan turut disertai beberapa muka baharu.
“Ada empat pemain baharu yang akan diberi peluang mengikuti latihan bersama pemain sedia ada.
“Kita akan memantau kelibat mereka, mungkin ada yang berpotensi untuk bersama pemain sedia ada,” tambah Phillip.
Sambil menyatakan kelompok pemain baharu itu masing-masing dua daripadanya berasal di Miri selain dua orang lagi berasal dari Bintulu serta Limbang.