KUCHING: Pengurus Sarawak United FC II (SU FC II), Phillip Jabu memberitahu, pihaknya menerima dengan terbuka keputusan dikeluarkan badan induk tertinggi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perubahan baharu membabitkan jadual perlawanan kempen Liga Piala Presiden 2021.
Menurut Phillip, perubahan jadual yang berlaku itu jelas menghadir bebanan kepada pihaknya terutama dari segi kewangan.
“Sebelum ini kebiasaan saingan untuk liga skuad pelapis itu berakhir pada bulan Julai. Jika saingan bermula awal bulan September nanti sebagai mana cadangan awal FAM, ianya sudah tentu akan berakhir pada bulan Oktober ataupun November.
“Dan pada masa sama kami terpaksa menyediakan dana tambahan untuk pembayaran gaji pemain bagi tempoh beberapa bulan lagi,” jelas Phillip kepada Arena Suara Sarawak.