JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis ekstasi dan menahan dua lelaki di provinsi Banten pada Khamis.
Pihak polis sebelum ini menerima maklumat mengenai bahan mentah dan peralatan memproses ekstasi yang dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang.
Ketua agensi siasatan jenayah Pesuruhjaya Jeneral Agus Andrianto berkata siasatan lanjut membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Sindang Jaya, Tangerang.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan 9,517 pil ekstasi, 593 pil berwarna kuning, 300 pil berwarna hijau, gelatin dan magnesium seberat 43.7 kilogram.
Makmal itu dilaporkan mempunyai kaitan dengan serbuan sebelum ini di Semarang, Jawa Tengah, kata Agus, dan pihaknya kini sedang memburu individu yang menghantar peralatan memproses ekstasi. – BERNAMA