Pilihan raya  atasi krisis politik

KUCHING: Jawatankuasa Eksekutif dan ahli SUPP Cawangan Stakan sebulat suara bersetuju dengan Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting bahawa penyelesaian tepat untuk krisis politik yang dihadapi Malaysia adalah melalui pilihan raya umum.

Pengerusinya Sim Khiang Chiok berkata, Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen tidak memilih Perdana Menteri secara langsung, sebaliknya memilih seorang ahli parlimen yang disokong oleh 112 atau lebih ahli parlimen lain dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Situasi hari ini melihat Yang diPertuan Agong membuat langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini melantik Perdana Menteri sementara tanpa ahli kabinet. Jelas Khiang Chiok, Tun Mahathir pada dasarnya mentadbir negara seorang diri.

“Terdapat ancaman bahawa pelabur akan terus keluar daripada melabur ke Malaysia,” katanya. Tambahnya, ini menyebabkan ringgit lemah dan seterusnya menyebabkan kerosakan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Khiang Chiok turut memberitahu, sudah tentu perkara yang perlu dilakukan di sini adalah untuk membubarkan parlimen serta mengadakan pilihan raya umum.

Beliau berkata, ada yang berpendapat bahawa mengadakan pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang banyak dan memberikan tekanan tidak wajar terhadap simpanan negara dan wang pembayar cukai.

“Akan tetapi, perkara itu akan menjadikan ekonomi negara lebih teruk. “Oleh itu, pilihan raya adalah wajar diadakan. “Ia akan membantu kita mengelakkan ketegangan kaum dan bencana ekonomi.

“Pada masa sama akan memacu negara ke arah pemulihan dan kestabilan yang lebih besar,” katanya lagi.

Suara Sarawak