Pindaan RUU Perlembagaan Sarawak demi hak Sarawak

KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sarawak bagi definisi “Penduduk Negeri” adalah untuk memastikan hak Sarawak terjaga, kata Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Jelasnya, ia kerana sebelum ini sesiapa sahaja yang tinggal di Sarawak walaupun hanya tiga minggu layak untuk menjadi calon bagi mana-mana pilihan raya.

“Jadi untuk memastikan hak Sarawak terjaga maka definisi “Penduduk Negeri” haruslah ditakrif dengan lebih jelas.

“Maka sebab itulah RUU ini diperkenalkan untuk dipinda,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pindaan RUU Perlembagaan Sarawak yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Justeru, Fazzrudin menempelak barisan pembangkang yang telah memutar belit pindaan ini apabila mengatakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membenarkan orang luar yang bermastautin selama dua tahun layak menjadi calon dalam pilihan raya.

“Walhal kita tidak mahu sesiapa saja yang hanya tinggal di Sarawak beberapa minggu dan mempunyai alamat di Sarawak terus layak menjadi calon dalam pilihan raya.

“Inilah semangat pindaan Perlembagaan Sarawak tersebut,” katanya.

Suara Sarawak