Pintu tertutup buat MPKKP di Meradong

BINTANGOR: “Tidak ada ruang untuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Persekutuan (MPKKP) bertapak di Meradong. Kami sebulat suara bantah,” itu tegas Pengerusi Tuai-Tuai Rumah Meradong, Rantie Ayai.

Seramai 150 orang tuai rumah hadir bagi menyuarakan bantahan terhadap usul penubuhan MPKKP di Bintangor hari ini.

Menurut Rantie lantikan MPKKP tidak diterima oleh rakyat khususnya penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Lantikan MPKKP hanya akan memecah belahkan perpaduan dan keharmonian di rumah panjang. Justeru, kami bersepakat menyuarakan bantahan dengan sekeras-kerasnya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Rantie berkata, tuai rumah dilantik oleh Kerajaan Sarawak sebagai pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan penduduk rumah panjang di kawasan masing-masing.

Tegasnya, perlantikan MPKKP menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ada kepercayaan terhadap mereka.

“Pada masa yang sama, kami juga percaya, PH mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penubuhan MPKKP yang cuba menguasai pentadbiran negeri ini,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya melakukan tindakan susulan bagi memastikan bantahan itu difahami dan diterima oleh penduduk di kawasan masing-masing.

Hadir sama Penghulu Abas Banyie, Penghulu Selah Jugi,Pemanca Agan Luat, kaunselor Lias Paing dan kaunselor Seli Judi.

Suara Sarawak