Pipus telur ikan Belawai sedap, laris

TANJUNG MANIS: Aroma cukup menyelerakan dan rasanya memang sangat sedap.

Itu ungkapan sesuai bagi menggambarkan pipus telur ikan yang dihasilkan oleh peniaga kecil Kampung Belawai di sini.

Justeru tidak hairanlah jika sesiapapun yang berkunjung ke daerah ini, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membelinya.

Seorang pengusahanya, Dayang Selawati Abang Bujang, 32, berkata, menghasilkan pipus telur merupakan salah satu pekerjaan tradisi penduduk Belawai sejak sekian lama.

Menurutnya, suatu ketika dahulu ia sekadar juadah pembuka selera, namun hari ini menjadi satu sumber ekonomi utama penduduk terutama kaum wanita.

“Telur-telur ikan jan, panjang, tenggiri dan belangkas yang diperoleh daripada nelayan Belawai. Kami menyediakannya pada waktu malam sebelum dijual kepada pelanggan keesokan harinya.

“Kerja-kerja menyalai pipus ini bermula jam 8.00 pagi hingga jam 6 petang.

Permintaan pelanggan memang cukup menggalakkan terutama pada hujung minggu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dayang Selawati berkata, kebanyakan pengusaha telur pipus Belawai terdiri daripada kaum wanita.

Katanya, produk itu menjadi lebih istimewa apabila semua telur ikan itu diperoleh daripada ikan yang baharu dinaikkan nelayan sebelum di jual pada harga yang sangat berpatutan.

Kebiasaannya pais dan pipus mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan namun ada juga memilih ikan salai segar dan pais hati ikan pari.

“Kami membuat kerja ini secara kecil-kecilan untuk menampung pendapatan keluarga. Alhamdulillah, hasilnya memang cukup lumayan,” katanya mampu menjual sehingga 200 pipus sehari.

Dalam pada itu, Pemanca Dandan Sidi berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak menaiktarafkan Pantai Belawai membuahkan hasil apabila lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Beliau menjelaskan, pengunjung pasti akan singgah membeli pelbagai produk kampung yang dijual penduduk termasuk pipus di Kampung Belawai.

“Secara tidak langsung produk-produk ini, walaupun diusahakan secara kecil-kecilan namun mampu mempopularkan nama Belawai kepada orang luar.

“Malah tidak lengkap rasanya kunjungan ke sini jika tidak menikmati keenakan produk berasaskan ikan ini,” ujarnya.

Seorang pengunjung, Abdul Mutalib Sirat, 45, pula berkata, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk singgah membeli pipus setiap kali datang ke kampung berkenaan.

“Saya menggemari telur ikan panjang yang dipais di dalam daun nipah. Selain mudah disediakan, rasanya juga sangat sedap terutama jika dimakan dengan nasi.

“Jika ada rezeki lebih saya pasti beli banyak dan memberinya kepada rakan dan keluarga di Bintulu,” katanya.