Pistol diacu di kepala

KUCHING: Pengalaman menyertai misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja pada 1992 dan 1998, tidak dapat dilupakan Pegawai Waran 2 (B) Keliment Nyapong, 60, sepanjang bertugas sebagai tentera.

Menurutnya, pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam menjalankan tugas sebagai tentera pengaman di negara orang.

“Di sana tidak kurang hebatnya. Saya tidak dapat lupakan satu peristiwa apabila saya dan rakan ditahan dan pistol diacukan di kepala kami.

“Ketika itu (Subuh), saya dan pemandu keluar menggunakan kenderaan yang mempunyai bendera PBB untuk pergi makan,” katanya.

Jelasnya, dia dan rakannya ditahan oleh polis Kemboja, tetapi tindak-tanduk dan pakaian serta cara mereka memegang senjata tidak menunjukkan mereka adalah polis sebenar.

“Tujuan utama mereka hanya untuk meminta duit daripada kita. Mujur ada polis tempatan berada di kawasan itu dan masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Keliment berkata lagi, dia pertama kali terlibat dalam dunia ketenteraan pada 1979 dengan menjalani latihan rekrut di Kem Pulada di Ulu Tiram, Johor selepas menamatkan persekolahan di SMK Kapit.

Tamat latihan, dia dihantar berkhidmat dengan Rejimen 1 Renjer di Kem Terendak Melaka, kemudian terlibat secara langsung pada zaman komunis.

Dedahnya lagi, pada awal 1980-an, kehadiran komunis masih ada, dan dia banyak belajar daripada tentera senior dalam Skuad 09 yang rata-rata berasal dari Sarawak, dan ada juga dari Semenanjung dan Sabah.

“Percakapan juga banyak menggunakan bahasa Iban, sehinggakan dalam surat menyurat kami menggunakan bahasa Iban.

Cara kehidupan di Sarawak banyak diterjemahkan ke dalam 1 Renjer seperti membuat selabit, parang termasuk kaedah mengesan musuh.

“Malah tentera senior Skuad 09 tidak gentar dengan komunis. Malah panggil komunis untuk datang kepada mereka dan berdepan dengan mereka,” dedahnya lagi.

Lebih mengagumkan tentera senior mudah mengesan jejak komunis, sementara tentera baharu sepertinya diarah bergerak ke bahagian belakang.

“Mereka tidak membiarkan kami berada di hadapan melawan musuh,” tambahnya.

Setelah 20 tahun berkhidmat, dia menamatkan perkhidmatan pada 2000, setelah berjaya mendapat pekerjaan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kini dia aktif dalam Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR).

Suara Sarawak