Pitch-It pelawa anak seni berbakat

KUCHING: Penggiat seni kreatif tempatan sekali lagi dipelawa untuk menyertai Pitch-It sesi kedua yang bermula sejak 12 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman berkata, tindakan itu susulan sambutan yang menggalakkan daripada penggiat seni menerusi karya yang diketengahkan dalam siaran berkenaan, sebelum ini.

“Melihat pada kejayaan Pitch-It pertama Ogos lepas, kami mahu platform TVS dapat digunakan sepenuhnya oleh penggiat industri kreatif di Sarawak.

“Dengan kewujudan TVS, bukan sahaja penggiat seni yang mendapat manfaat daripadanya, malah industri lain turut berkembang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, antara genre yang ditawarkan pada sesi ini termasuklah sitkom, rancangan masakan, drama, telemovie, filem pendek dan rancangan realiti.

Penyertaan dibuka kepada individu dan syarikat tempatan. Bagi kategori individu, penyertaan dibuka kepada warga negara Malaysia yang menetap di Sarawak dan berusia 18 tahun keatas, manakala bagi syarikat, ia hendaklah didaftarkan di Malaysia dengan 50 peratus ekuiti dimiliki oleh rakyat Sarawak.

“Untuk makluman, TVS juga akan mengadakan sesi taklimat dalam talian pada 19 Disember ini, bermula jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang.

“Bagi peserta yang berminat mereka digalakkan mendaftar di bit.ly/TVS-PitchIt atau menghantar permohonan melalui laman sesawang www.tvstv.my/pitchit,” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihak TVS amat teruja untuk bekerjasama dengan pemain tempatan dalam menyediakan kandungan yang segar dan menginspirasikan.

Oleh itu, semua peserta perlu peka untuk mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup pada 28 Januari 2021 (Khamis).