PKP dan ujian Ramadan kali ini

SIKAP kita dalam mematuhi arahan PKP akan menentukan sejauh mana ia akan berterusan atau ditamatkan sehingga selepas sambutan Aidilfitri.

Namun mengimpikan Ramadan hari ini seperti tahun-tahun sebelumnya amat mustahil. Tiada jualan depan rumah, tiada bazar Ramadan dan tiada juadah mewah di hotel lima bintang seperti yang sudah-sudah.

Dan tidak boleh pulang ke kampung menjelang 1 Ramadan. Simpan baik-baik niat itu kerana dalam keadaan sekarang, seratus peratus hasrat itu tidak boleh terlaksana.

Ramadan kali ini sesuatu yang luar biasa, berbeza daripada kelaziman biasa dan akan dikenang seumur hidup. Tetapi lebih baik kita lihat dari sisi positifnya.

Walaupun Ramadan ini bukan Ramadan yang kita impikan, tetapi kita tiada pilihan. Sisi positifnya, kita boleh berjimat duit untuk ke bazar Ramadan.

Anak-anak tidak lagi merengek ke bazar untuk memilih empat lima jenis juadah kerana kita berpeluang masak di rumah.

Jika ingin kelainan selera, kita juga berpeluang untuk memesan juadah melalui e-bazar dan menggunakan perkhidmatan e-hailing. Jadi inilah yang menariknya Ramadan tahun ini.

Siapa dapat membayangkan tahun 2020 kita buka telefon pintar, makanan sampai ke pintu rumah dan sedia untuk berbuka – bukankah itu impian kita dalam Wawasan 2020, satu kehidupan yang lebih pintar dan maju.

Walaupun secara fizikalnya tiada bazar Ramadan, tetapi kita berpeluang memilih menu yang kita suka. Jadi hikmahnya lebih banyak berbanding rungutan tidak dapat berbuka di hotel besar.

Jika impikan Ramadan seperti sebelumnya, kita harus terlebih dahulu patuhi PKP. Putuskan rantaian Covid-19, benda mudah yang kerajaan arah – duduk rumah.

Perlu diingatkan bahawa segala peraturan selama ini masih terus kekal dan pematuhan kepada peraturan berkenaan perlu menjadi tanggungjawab semua pihak walaupun dalam bulan puasa.

Kita semua akan terus diuji bukan setakat menahan lapar dan dahaga sepanjang puasa tetapi ujian ini lebih besar kerana kebergantungan nyawa terletak pada diri sendiri.

Inilah ujian yang sebenar. Kita tidak hanya berperang dengan nafsu makan, kita berperang dengan peragut nyawa yang tidak nampak.

Berdasarkan keadaan semasa, kita tidak perlu gopoh untuk menamatkan PKP hanya semata-mata risau tidak boleh pulang berhari raya atau tiada kunjungan Aidilfitri.

Tindakan Perdana Menteri mengumumkan PKP Fasa 4 mendapat sokongan majoriti rakyat, kerana mereka tidak yakin kita berada dalam zon selamat, angkara disiplin yang masih tipis. Justeru perkara penting yang rakyat Malaysia perlu buat ketika ini ialah duduk rumah supaya rantaian Covid-19 putus. Itu sahaja.

Suara Sarawak