PKP di Kapit dan Song selama dua minggu mulai 2 Februari – JPBNS

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Kapit dan Song, berkuat kuasa 2 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan ini dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah-daerah tersebut.
Menurut beliau, PKP akan berlangsung di dua daerah itu selama dua minggu iaitu sehingga 15 Februari.
“PKP bagi daerah Kapit dan daerah Song akan berkuat kuasa pada 2 Februari ini, jam 12.01 pagi sehingga 15 Februari 2021 jam 11.59 malam (14 hari),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pada hari ini, daerah Song mencatatkan sebanyak tujuh kes yang melibatkan kluster Pasai.
Semalam, JPBNS juga melaporkan seorang OKU dari daerah Song telah disahkan meninggal dunia dengan ko-morbid penyakit darah tinggi, asma dan obesiti.
Daerah Song telah diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19 dengan sejumlah 100 kes dalam dua minggu yang lalu sementara daerah Kapit telah dikategorikan sebagai zon Jingga dengan jumlah 37 kes dalam 14 hari yang lepas.

Suara Sarawak