PKP: Dua lelaki ditangkap bawa 60 kotak alkohol tanpa permit

BAU: Dua lelaki diberkas setelah gagal menunjukkan dokumen sah ke atas 60 kotak minuman alkohol di dalam kenderaan mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, kenderaan suspek ditahan hasil penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang sedang dijalankan di Jalan Tasik Biru sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, salah seorang suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek telah ingkar arahan PKP dan gagal memberikan alasan munasabah berada di tempat awam atau jalan raya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas van dinaiki suspek turut menjumpai 60 kotak alkohol jenis Tsingtao beer yang tidak mempunyai dokumen untuk menjual atau membeli minuman berkenaan, ” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, suspek seterusnya ditahan bersama barang rampasan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Bau untuk tindakan lanjut.

Tegas beliau, suspek ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Tambahnya, kes turut disabitkan di bawah Akta Kastam 1967 Seksyen 135(1)(d) / Akta Eksais 1976 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.

Ujarnya, siasatan terhadap kes masih lagi dijalankan.

Suara Sarawak