PKP: Kedai dobi tidak dibenar beroperasi di Sarawak

KUCHING: Semua kedai dobi termasuk perkhidmatan dobi layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, meskipun di Semenanjung Malaysia terdapat kelonggaran untuk beberapa kedai dobi tetapi ia tidak terpakai di Sarawak.

“Sementara itu, bagi membolehkan suri rumah serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) membuat kuih-muih sebagai persediaan menjelang Gawai dan Hari Raya, kami bersetuju membenarkan kedai-kedai menjual barangan (plastik atau kontena) serta bahan-bahannya dibuka dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai pandemik Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam yang turut dihadiri oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Sehubungan itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, satu lagi tempat saringan secara pandu lalu disediakan di Unimas bagi membolehkan semua kontak kasual yang belum dikesan di bahagian Samarahan membuat pemeriksaan.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula akan membantu bagi memantau kebajikan dan kesihatan seramai 138,183 pekerja asing di Sarawak.

“Ini penting untuk memastikan kumpulan ini akan sentiasa diawasi agar tidak dijangkiti Covid19,” ujarnya. Tambahnya, setakat ini, sebanyak lima pekerja asing didapati positif Covid-19 di negeri ini.

Suara Sarawak