PKP Khusus Sibu: Ruang pantri pejabat kerajaan turut diarah tutup

SIBU: Susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Khusus (PKPK), semua pantri agensi kerajaan di sini juga diarahkan tutup.

Perkara ini dimaklumkan oleh Penyelaras Jawatankuasanya Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee ketika sidang media di Pejabat Residen Sibu lewat petang tadi.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Kesihatan Awam di negeri ini berkata, surat pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan secepat mungkin bagi menutup mana-mana bilik kecil atau ruangan kecil di pejabat dan premis.

“Pemangku Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng akan mengedarkan surat pekeliling ini dengan kadar segera kerana didapati boleh berlaku jangkitan apabila berada di bilik kecil ini.

“Bisanya di dalam pantri orang tidak memakai pelitup muka. Kami selalu menasihati kakitangan supaya tidak makan di bilik kecil ini,” tegas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.

Selain itu, beliau juga mahu majikan mengarahkan semua kakitangan sokongan mereka termasuk pengawal keselamatan, pemandu dan tukang cuci untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

Bagaimanapun kata Dr Annuar, pihaknya tidak menyalahkan majikan sebagai penyebab penularan tetapi mahu mencari punca penularan.

Beliau juga mendapati pemandu syarikat juga berada dalam kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti kerana sering bergerak dan berpotensi membentuk kluster baharu jika mereka dijangkiti.

Beliau menasihati kakitangan sokongan ini untuk menjalani dua calitan kerana biasanya calitan pertama tidak dapat mengesan virus.

Suara Sarawak