PKP medan menguji diri

RAMAI rakyat di negara ini mengakui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan telah menjejaskan pelbagai aktiviti harian, terutama melibatkan punca pendapatan mereka.

Keadaan ini bukan sahaja membabitkan golongan berpendapatan rendah malah juga sektor lain yang berkepentingan dalam negara.

Hal ini telah mewujudkan pelbagai senario dalam kalangan masyarakat setempat. Jika diteliti, terdapat pelbagai faedah dan manfaat yang kita perolehi menerusi proses PKP ini.

Paling ketara, PKP merupakan peluang yang memberi ruang kepada kita untuk bermuhasabah dan mempelajari sesuatu yang positif daripada apa yang berlaku – penularan Covid-19.

Ia boleh diambil sebagai iktibar oleh semua pihak terutama untuk menghargai segala yang kita miliki dan apa yang ada di sekeliling kita. PKP juga dapat dijadikan sebagai cerminan terhadap diri sendiri sama ada kita dapat patuh atau lebih mengikut kehendak hati sendiri bagi perkara yang melibatkan kepentingan semua pihak.

Ia juga dapat menggambarkan tingkah laku sebenar kita termasuk dalam menguji tahap kesabaran dalam menempuh ujian yang dilalui. Dari sudut luaran, PKP banyak memberi kesan negatif terhadap kehidupan seharian kita terutama dalam menyara tanggungan yang sedia.

Hal ini kerana, seluruh rakyat diarahkan untuk sentiasa duduk di rumah dan di kawal pergerakan walhal mereka perlu berada di luar rumah untuk tujuan mendapatkan sumber rezeki. Kita perlu bersyukur kerana walau dalam keadaan segetir ini, kita masih dapat menerima bantuan dan perhatian dari pihak berkuasa untuk kelangsungan hidup dalam tempoh ini.

Bagaimana pula dengan mereka yang di luar sana, yang terpaksa berlapar dan sentiasa ketakutan seumur hidup mereka?

Perkara tersebut perlu kita tanam dalam diri sebagai motivasi diri.

Meskipun pergerakan kita dikawal dalam beberapa tempoh ini, sewajarnya kita perlu pastikan rutin yang dilakukan setiap hari dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama mereka yang kita sayang.

Luangkan sebanyak mungkin waktu yang ada bersama keluarga dan pasangan masing-masing dengan perkara yang berfaedah dan memajukan diri, sehingga semuanya dapat kembali seperti biasa.

Semoga dengan usaha dan kerjasama yang padu dari semua pihak dapat melancarkan operasi negara dalam memutuskan penularan wabak ini.

Anggaplah Covid-19 dan PKP ini sebagai salah satu cabaran dalam hidup. Daripada memikirkan kesan negatifnya, anggaplah ia pengalaman baharu yang mendewasakan. Ada hikmah di sebaliknya, terutama dari segi nilai kekeluargaan, kematangan dan penguasaan teknologi.

Suara Sarawak