PKP: Rancang sebelum berbelanja

KETIKA ini, mungkin ramai yang lega dan gembira kerana telah menerima wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN)

Apatah lagi bagi mereka yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ini disebabkan situasi negara yang dikejutkan dengan wabak Covid-19 sehingga memaksa kerajaan melaksanakan PKP.

Ekoran itu, banyak syarikat yang tidak boleh beroperasi seperti sedia kala sekali gus menyebabkan pendapatan terjejas. Ini secara tidak langsung membawa kesan kepada para pekerja, malah mungkin ada antara mereka yang sudah hilang pekerjaan.

Memang ini satu beban berat terutama bagi yang sudah berkeluarga, namun di sebalik kesukaran ini, ada perkara yang boleh diambil iktibar. Pengajaran yang boleh diambil untuk diri sendiri serta keluarga adalah dalam soal pengurusan kewangan.

Dalam menghadapi waktu sukar ini, perancangan kewangan yang bijak amatlah perlu. Paling utama berbelanjalah mengikut keperluan, bukan kehendak kerana keperluan adalah perkara penting untuk kita meneruskan kehidupan.

Misalnya ketika PKP diumumkan, terdapat pembelian panik menyebabkan ada antara orang yang membeli bukan mengikut keperluan sebaliknya kehendak semata-mata dan ini menjurus kepada pembaziran. Justeru tidak kira golongan berada atau pertengahan, setiap orang perlu mengubah gaya hidup yang bersederhana.

Ini kerana tempoh PKP dan penularan wabak Covid-19 tidak boleh dijangkakan.

Sehingga bilakah ia akan berlanjutan?

Kita tidak tahu namun hakikatnya kita harus bersedia terutama dari segi kewangan. Sekurang-kurangnya dengan adanya dana kecemasan seperti BPN, dan juga Bantuan Khas Sarawakku Sayang maka ia dapat menampung kos hidup kita antara tiga hingga enam bulan.

Ini ditambah lagi dengan bantuan makanan yang sedang giat disalurkan kepada setiap penduduk di seluruh negeri. Sekiranya ada dalam kalangan adik beradik, saudara mara, badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak kerajaan yang membantu, ini dianggap satu bonus.

Namun adalah sebaiknya jangan terus mengharap belas ihsan orang lain, sebaliknya ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Jangan apabila sudah kering, baharulah kira sedar tentang pentingnya perbelanjaan berhemah.

Kita haruslah beringat bahawa masalah kewangan bukanlah sesuatu yang sangat ringan. Ia boleh menyebabkan setiap orang tertekan, malah mengundang perkara yang tidak diingini berlaku seperti bunuh diri, mencuri dan sebagainya.

Suara Sarawak