PKP tidak halang berniaga

KOTA SAMARAHAN: Kesukaran mendapatkan bahan membuat untuk kek ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang peniaga dalam talian meneruskan perniagaan mereka.

Noraidilaniza Junaidi, 28, merupakan suri rumah yang menjalankan perniagaan dalam talian memilih meneruskan perniagaan Brownies dan Flan Cake walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya memulakan perniagaan ini Januari lalu dan meneruskannya hingga kini. “Ketika PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lepas, cabaran utama yang saya hadapi adalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan membuat kek,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Tambahnya, terdapat tempahan pelanggan yang terpaksa ditolak kerana bahan untuk dekorasi seperti permintaan pelanggan gagal didapati dari kedai-kedai bahan kek atau roti.

“Sebelum pelaksanaan PKP, saya bebas mencari bahan sehingga di Kuching untuk membuat dekorasi seperti permintaan pelanggan. “Ketika PKP kini, saya hanya mencari bahan untuk kek dan dekorasi di sekitar Kota Samarahan kerana akur dengan arahan pihak berkuasa dan jarak perlu dihadkan sejauh 10 km sahaja,” ujarnya lagi.

Noraidilaniza menjelaskan keadaan seperti itu tidak menghalangnya meneruskan perniagaan kerana permintaan pelanggan ketika ini agak memuaskan. “Saya menerima lapan hingga sepuluh tempahan sehari dan produk yang mendapat permintaan tinggi adalah Brownies.

“Cara promosi utama saya adalah menggunakan Facebook Page dan Instagram (E’iza Choice) seterusnya melalui aplikasi WhatsApp dan mulut ke mulut iaitu apabila pelanggan mempromosikan produk jualan saya kepada rakan-rakan mereka melalui komunikasi lisan,” tambahnya.

Dalam hal berkaitan, dia memberitahu, perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan juga disediakan dan setiap penghantaran akan dikenakan bayaran mengikut tempat dan jarak dari Kota Samarahan. “Sebelum PKP, saya membuat penghantaran barangan jualan kepada pelanggan hingga ke kawasan Kuching.

“Kini saya hanya menghantar produk jualan ke kawasan Kota Samarahan dan Asajaya. “Tidak dinafikan had untuk penghantaran barangan jualan saya ini menjejaskan pendapatan tetapi demi keselamatan dan menyokong usaha kerajaan mengekang wabak Covid-19, saya tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama dengan cara begini,” tegasnya.

Dia juga mengingatkan peniaga lain supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan produk jualan lebih-lebih lagi berkaitan makanan.

“Jaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan, mandi dan sebagainya termasuk mengekalkan jarak sosial ketika membeli barangan serta melakukan penghantaran kepada pelanggan.

“Apa yang perlu dipraktikkan oleh semua pihak adalah sentiasa mengaga kebersihatan dan kesihatan diri sendiri seperti #kitajagakita,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak