PKPD di Kampung Emperoh Jambu

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung
Emperoh Jambu, Padawan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata PKPD itu berkuat kuasa mulai 23 Februari (12.01 pagi) hingga 8 Mac (11.59 malam), bagi mengekang penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

“Hari ini, Kluster Emperoh Jambu telah menyumbangkan 42 kes positif Covid-19 di Kuching,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Pada masa sama, Uggah berkata Jabatan Kesihatan Negeri turut mengisytiharkan Kluster Emperoh Jambu sebagai kluster baharu di Sarawak, selain Kluster Sungai Bakong, Meradong.

“Kluster Emperoh Jambu yang melibatkan Daerah Kuching, Samarahan dan Serian adalah kluster komuniti yang berlaku di Kampung Emperoh Jambu di Padawan,” katanya.

Menurut Uggah yang juga pengerusi JPBNS, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,095 iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun warga tempatan (Sarawak) yang dikesan melalui saringan sebelum bertugas pada 16 Februari lalu.

Tambahnya, kes indeks ini dipercayai telah menjangkiti ahli keluarga beliau yang kemudian berkemungkinan telah merebak kepada kontak-kontak lain semasa upacara pengebumian ahli keluarga isteri kes indeks pada 3 hingga 5 Februari lalu.

“Hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini dan ahli keluarganya, tambahan 59 kes telah dikesan.

“Sehingga 22 Februari jam 12 tengah hari, sejumlah 337 individu telah disaring di mana 60 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, 40 kes negatif dan 237 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Uggah berkata kesemua kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Namun, katanya tiada kematian melibatkan kluster ini.

Sementara, Uggah berkata JPBNS turut memutuskan melanjutkan PKPD bagi kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa, Sibu Jaya berkuat kuasa mulai 26 Februari (12.01 malam) hingga 4 Mac (11.59 malam).