PKPP berteras tujuh strategi

KUCHING: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berteraskan tujuh strategi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya strategi-strategi itu ialah Pengukuhan Kesihatan Awam, Perundangan dan Penguatkuasaan, Pengukuhan Kawalan Sempadan, Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi, Pembudayaan Kebiasaan Baharu, Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti dan Perlindungan Golongan Berisiko.

“Strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan,” katanya dalam perutusan khas pelaksanaan PKPP hari ini.

Manakala di peringkat kerajaan negeri, Muhyiddin berkata strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti,” katanya.

PKPP akan dilaksanakan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini.