PKR Sarawak masih kukuh

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak masih kukuh walaupun dengan peletakan jawatan pemimpin dan ahlinya sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng berkata parti itu masih mempunyai ramai ahli di seluruh negeri.

“Kami mempunyai lebih daripada 500 ahli baharu yang menyertai Keadilan dan keahlian kami setakat ini lebih daripada 40,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan mereka yang telah meletak jawatan dari Keadilan Sarawak akhir-akhir ini tidak lebih daripada 200 orang.

“Namun, mereka menyelaraskan pengunduran satu demi satu untuk memberi kesan bahawa ia banyak.

“Sebenarnya kami sudah tahu siapa mereka, bahkan sebelum mereka mengundurkan diri kerana itu adalah rahsia terbuka.

“Kami hanya menunggu mereka mengumumkan pemergian mereka,” katanya.

Sng menambah pihaknya tidak mempublikasikan mereka yang keluar parti berkenaan kerana tidak mahu mencari publisiti yang murah.

Beliau menyifatkan Keadilan adalah salah satu parti terbesar di Malaysia dengan 38 Ahli Parlimen, dua Menteri Besar dan 60 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Suara Sarawak