PKS lahirkan masyarakat sihat, selamat dan sejahtera

BETONG: Program Komuniti Sejahtera (PKS) merupakan usaha meningkatkan kepekaan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera.

Pegawai Operasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Betong David Bunsu memberitahu, pelbagai aktiviti disusun atur berteraskan kepada aktiviti sihat.

“Seperti senamrobik, ceramah kesihatan oleh Penolong Pegawai Perubatan Thow Lu Chai, saringan pemeriksaan kesihatan oleh Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen), pertandingan menyediakan menu sihat dan pameran Kemas.

“Semuanya memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera seperti mana dituntut,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan PKS Parlimen Betong 2019 di Kampung Melayu Betong, semalam.

Jelas David lagi, program tersebut juga berjaya mewujudkan hubungan baik dalam kalangan komuniti desa bersama pemimpin tempatan, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Termasuk memperkasakan semangat kesukarelawan dalam kalangan komuniti desa.

Kira-kira 70 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan golongan warga emas di Kampung Melayu Betong hadir.

Rokayah Saibi dinobatkan sebagai pemenang pertandingan menyediakan menu sihat.

Suara Sarawak