Platform digital bantu pasarkan produk

KUALA LUMPUR: Selaras perkembangan teknologi dan peningkatan trend pembelian secara dalam talian, Agrobazaar Online yang dibangunkan serta diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berjaya mencatatkan nilai jualan RM8 juta sejak mula beroperasi pada 2015.

Agrobazaar Online merupakan platform untuk usahawan memasarkan produk serta perkhidmatan berasaskan pertanian secara maya kepada pelanggan dan pengguna.

Ketua Pengarah Fama Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, antara faktor yang mendorong kepada angka jualan itu ialah trend pembelian pengguna ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berubah kepada pembelian secara dalam talian.

“Semasa PKP pertama dikuat kuasa, pengguna dilihat sukar untuk mendapatkan barangan segar dan keperluan dapur apabila hampir kesemua kedai peruncitan fizikal seperti pasar awam dan pasar tani ditutup atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kedai runcit dan pasar raya pula dihujani pengguna yang perlu beratur dan dihadkan kemasukan ke dalam premis bagi menjaga penjarakan fi zikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, Fama dengan kerjasama MKN mengambil inisiatif membuat hebahan kepada pengguna mendapatkan barangan segar melalui Agrobazaar Online.

“Agrobazaar Online berjaya mencatatkan nilai jualan RM2.17 juta mulai 18 Mac hingga 8 November lepas.

“Ia melibatkan pecahan nilai jualan produk segar dan industri asas tani (IAT) masing-masing RM1.18 juta dan RM0.99 juta melibatkan 41,654 khidmat penghantaran sepanjang tempoh itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, portal Agrobazaar Online hampir sesak dan aliran trafi k untuk memasuki portal itu juga tinggi impak sebaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dijalankan MKN.

Atas dasar itu, katanya, Fama bekerjasama dengan platform e-dagang lain seperti Lazada, Shopee dan Foodpanda bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan barangan segar.

“Fama turut bekerjasama dengan syarikat logistik seperti Pos Malaysia, Lalamove dan GoGet bagi memudahkan urusan pengambilan dan penghantaran bagi penjual dan pembeli.

“Fama juga merangka kolaborasi dalam melatih usahawan membangunkan sendiri laman web e-dagang melalui platform Shoppergram.Com dan eFAMAplace,” katanya.

Zainal Abidin juga berkata, Fama mengadakan 49 sesi libat urus bersama-sama usahawan di seluruh negara, sehingga Oktober lepas.

“Kedai-kedai usahawan bimbingan Fama ini turut dijadikan sebagai tempat pengumpulan dan pemasaran dalam talian bagi pengguna mendapatkan produk agromakanan secara dalam talian.

“Terdapat juga pembangunan agrohub di lima lokasi baharu bagi Fasa 1 iaitu Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah yang menggunakan konsep agrohub di MyKopie Satu, Selayang,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, Fama berjaya mencatatkan nilai jualan RM721.58 juta menerusi kedai pemasaran seperti Agrobazaar Online, Pusat Operasi Fama/Fama Co., Pasar Segar Terkawal/ Pasar Tani Kekal (lokasi terpilih), MyFarm Outlet, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazar Rakyat. – Bernama

Suara Sarawak