ARTIKEL

PM Anwar beri jaminan pelabur Jepun Malaysia ada dasar jelas untuk pacu pertumbuhan kukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur Jepun bahawa walaupun kerajaan Madani hanya baru berusia setahun, ia stabil, dengan dasar yang sangat jelas untuk memacu pertumbuhan Malaysia. 

Beliau berkata demikian pada persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo, selepas sesi pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat utama Jepun.

“Kami telah memikirkan cara bagaimana untuk menangani peralihan tenaga, termasuk tenaga boleh baharu di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang menggariskan apa yang ingin kami capai dan misi kami,” katanya.

Anwar berkata Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital.

“Saya di sini untuk mendengar pandangan anda, tentang perkara yang perlu dilakukan untuk memudahkan atau mempercepatkan proses libat urus dan pelaburan,” katanya.

Anwar, yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke Jepun berkata beliau kagum dengan sokongan yang ditunjukkan terhadap Malaysia semasa sesi persidangan meja bulat itu yang disertai 25 syarikat.  

Antara peserta yang menyertainya termasuklah Masaya Hasegawa, pengasas Shinzen Energy; Kunio Yamada, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Rohto Pharmaceutical; Hidehiro Yokoo, pegawai eksekutif kanan Denso Corporation; Takeshi Saito, presiden  ENEOS Holdings dan Nobuhiko Murakami, pengerusi Toyota Tsusho Corporation.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan eksekutif kanan tiga syarikat multinasional utama Jepun iaitu ROHM WAKO Co. Ltd, yang diketuai pengerusinya Datuk Yoshioka Yosuke; NEC Co. Ltd oleh naib presiden kanan Matsuki Toshiya dan Mitsui & Co oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Kenichi Hori.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semasa pertemuan itu, beliau memberi jaminan kepada para peserta bahawa masih ada banyak peluang yang tersedia bagi pelabur Jepun di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul, dalam ucapan perasmiannya semasa persidangan meja bulat berkata acara tersebut menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan asas yang lebih kukuh bagi hubungan ekonomi dan dua hala pada masa depan.

Beliau juga memaklumkan mengenai penubuhan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang memulakan operasinya pada 1 Dis lepas sebagai pusat sehenti untuk pelabur menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Persatuan Alumni Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Malaysia kerana membantu mengatur mesyuarat dan sesi persidangan meja bulat semalam yang memberi peluang kepada ketua-ketua industri Jepun untuk berinteraksi secara langsung dengan beliau.

Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015. 

Pada 2022, perdagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (US$41.21 bilion) atau 6.4 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan negara. 

Setakat Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion). – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

BERITA TERBARU

Sawit naik RM3,750 satu tan

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), sebuah badan di bawah Fitch Solutions Group Ltd, telah membuat semakan dan menaikkan unjuran bagi harga

JKT penolong jurulatih Kuching City FC ‘B’

KUCHING: Keterujaan buat bekas penyerang berpengalaman yang juga kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie, 37, dalam menelusuri dunia bola sepak dengan persepsi berbeza. Jika

Dua sahabat didakwa cubaan bunuh lelaki

KUCHING: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki berusia 36 tahun dalam satu kejadian tular di media sosial