PM India rayu petani tamatkan protes

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi menawarkan rundingan baru menamatkan kebuntuan reformasi pertanian negara itu, dalam usaha terkini beliau untuk memujuk petani yang memprotes hampir sebulan lamanya menentang langkah tersebut.

Puluhan ribu petani berkhemah berhampiran beberapa pintu masuk ke New Delhi sejak 26 November lalu membantah undang-undang baru yang mereka katakan menyebabkan penghapusan pasaran yang telah diatur.

Mereka khuatir kerajaan berhenti membeli gandum dan beras pada harga yang terjamin, menyebabkan mereka mengharap belas kasihan syarikat besar.

Menerusi ucapan disiarkan secara langsung kepada jutaan petani di seluruh negara, Modi, 70, berusaha meredakan kekhutiran mereka, menegaskan undangundang baru yang diluluskan pada September, memberi mereka kebebasan menjual hasil mereka “di mana sahaja dan kepada siapa sahaja yang mereka suka”.

“Pembohongan disebarkan bahawa mandis (pasaran) ditutup, harga sokongan minimum akan dihentikan… jangan terpedaya oleh mereka yang mempunyai motif politik,” kata Modi.

“Saya mengatakan ini dengan rendah diri bahawa kami sedia membincangkan setiap isu petani, bahaka dengan mereka (parti politik) yang menentang kami, demi kepentingan petani kita.”

Modi juga meluluskan AS$2.5 bilion yang disalurkan kepada 90 juta petani di bawah skim kewangan yang dilancarkan partinya tahun lalu. Di bawah skim pemindahan wang tunai langsung, petani kecil mendapat 6,000 rupee (AS$82/RM332) dalam empat ansuran dalam setahun.

Modi juga berinteraksi dengan tujuh petani dari negeri-negeri yang berbeza melalui sidang video yang mana mereka memuji pelbagai rancangan pertanian kerajaan. Bidang pertanian merangkumi kira-kira 70 peratus tenaga kerja daripada 1.3 bilion orang di India dan menyumbang 15 peratus kepada ekonominya yang bernilai AS$2.7 trilion. – AFP