PM minta rakyat terus bertahan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam situasi PKP ketika ini, rakyat mesti membuat sesuatu yang boleh menambahkan manfaat kepada kehidupan mereka dan anak-anak.

Sebagai bekas pesakit kanser yang pernah berdepan situasi menggusarkan, Muhyiddin berkata, beliau percaya rakyat tahu bahawa mereka harus terus bertahan berdepan cabaran yang dihadapi ketika ini.

“Saya fikir dari sudut rakyat juga mereka faham, dalam situasi apa sekali pun, mereka mesti pastikan supaya ada upaya, daya tahan dan bekerja seperti biasa, malah dalam keadaan terperangkap dalam rumah sendiri, ada perkara tertentu yang boleh mereka manfaatkan.

“Saya lihat ini dalam banyak siaran, video dan berita yang saya terima, itu dah mula diterima sebagai satu perkara yang agak biasa oleh sebahagian besar warga kita,” katanya pada sesi temubual khas bersama RTM dan Astro Awani malam kelmarin.

Perdana Menteri berkata, ketika ditanya mengenai nasihatnya kepada rakyat dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 ketika ini, berdasarkan pengalamannya berjuang berdepan kanser sebelum ini.

Muhyiddin mengakui, ada yang memberi peringatan kepada dirinya supaya lebih berhati-hati kerana kemungkinan tahap imunitinya tidak begitu tinggi berikutan penyakit dihidapi sebelum ini, namun beliau tidak gusar mengenainya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mampu menjalankan tugas dan tak terganggu sebab pernah menghadapi masalah sebegitu,” katanya.

Muhyiddin turut ditanya mengenai apa sebenarnya mahu disampaikan di sebalik ucapan yang disiarkan secara langsung sebelum ini, yang dilihat rakyat selalu berseloroh dan memberi perumpamaan serta penceritaan, dengan yang terbaharu kisah Mak Cik Kiah.

Muhyiddin berkata, apabila diwawancara dan mahu bercerita mengenai sesuatu perkara, beliau sebagai Perdana Menteri perlu mengetahui siapa penontonnya dan dalam kes ini, penonton beliau kebanyakannya ialah rakyat biasa.

“Penonton saya itu rakyat kita, sebahagian besarnya rakyat biasa. Mereka harus faham apa yang Perdana Menteri cakap. Ini nak menceritakan tentang hal yang menyentuh kehidupan mereka. Dalam bahasa dan contoh yang mudah.

“Banyak yang beri reaksi kepada ucapan saya. Ada yang kata, oh bagus cerita pasal kuih tak jadi tu. Saya tahu dalam Facebook itu agak popular, siap ucap terima kasih kepada saya,” katanya.

Suara Sarawak