PMBS dan APM ikat kerjasama strategik

BETONG: Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) menjalin kerjasama strategik dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak dalam usaha memaksimumkan potensi, pembinaan sahsiah dan pembangunan jati diri penuntutnya.

Pengarah PMBS Suhaili Aleh memberitahu, salah satu inisiatif yang diambil adalah menerusi cadangan menubuhkan Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA).

“Ini selaras dengan misi Politeknik Malaysia yang mementingkan pembangunan holistik penuntut.

“Dengan adanya PISPA sebagai kokurikulum wajib pada masa akan datang, ia diyakini mampu memberikan nilai tambah serta pelbagai kemahiran yang menguntungkan diri dan masyarakat am,” katanya selepas mengadakan perbincangan mengenai penubuhan PISPA bersama APM Sarawak.

Jelasnya, hubungan yang terjalin diharap mampu mengeratkan hubungan dua hala antara PMBS dengan APM di peringkat negeri amnya dan APM di peringkat bahagian atau daerah khususnya.

Suara Sarawak