KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global ASEAN kekal melebihi paras 50.0 untuk bulan ke-20 berturut-turut pada Mei, menunjukkan peningkatan yang berterusan dalam persekitaran operasi.
Bagaimanapun, bacaan terkini berada pada 51.1, merosot daripada 52.7 pada April berikutan pengeluaran, pesanan baharu dan stok sebelum pengeluaran yang naik pada kadar yang rendah berbanding bulan sebelumnya, menurut S&P Global Market Intelligence.
“Data PMI yang terkini untuk ASEAN menunjukkan peningkatan yang sederhana dalam persekitaran operasi pada pertengahan suku kedua.
Selain itu, data tersebut menunjukkan tekanan inflasi yang semakin berkurangan dan rantaian bekalan yang lebih baik untuk bulan ketiga berturut-turut.
“Bagaimanapun, terdapat kelembapan dalam momentum pertumbuhan secara keseluruhan.
Pengilang melaporkan kadar peningkatan yang perlahan untuk pesanan baharu dan pengeluaran.
“Selain itu, firma mengurangkan tahap kakitangan mereka untuk bulan ketiga berturut-turut.
Keyakinan turut merosot di rantau ini kepada paras terendah dalam tempoh 34 bulan,” kata ahli ekonomi S&P Global Maryam Baluch dalam nota penyelidikan semalam.
Baluch berkata data menunjukkan bahawa trend permintaan asas yang rendah di seluruh rantau ini.
“Selain Filipina, semua negara ASEAN yang diliputi oleh kaji selidik itu mencatatkan penurunan untuk PMI keseluruhan pada Mei.
“Bagaimanapun, rantaian bekalan yang lebih baik dan tekanan kos yang semakin berkurangan dapat membantu menyokong pemulihan sektor tersebut dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.
Pada Mei, lima daripada tujuh konstituen ASEAN menyaksikan peningkatan dalam kedudukan sektor pembuatan mereka pada Mei.
Mendahului peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut ialah Thailand dengan bacaan pada 58.2.
Peningkatan itu lebih rendah daripada paras tertinggi yang dicatatkan pada April, bagaimanapun kedua tertinggi dalam sejarah kaji selidik.
Begitu juga, firma pembuatan di Myanmar mencatatkan pertumbuhan yang perlahan apabila angka keseluruhan berada pada 53.0, berkurangan kepada paras terendah dalam tempoh tiga bulan daripada paras tertinggi yang dicatatkan pada April.
Filipina adalah satu-satunya negara apabila indeks keseluruhan meningkat pada Mei.
Sebanyak 52.2, pengeluar menunjukkan peningkatan yang sederhana secara keseluruhan.
PMI Singapura dan Indonesia, masing-masing sebanyak 51.2 dan 50.3 menunjukkan peningkatan yang perlahan dalam persekitaran pembuatan pada Mei.
Malaysia (47.8) dan Vietnam (45.3) adalah dua negara yang melaporkan kemerosotan dalam persekitaran perniagaan, masing-masing untuk bulan kesembilan dan ketiga berturut-turut. – BERNAMA