KUCHING: Proklamasi Darurat Sarawak perlu diisytihar bagi menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus mengelakkan penularan Covid-19 menjadi lebih serius.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, dengan itu PRN Dun Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.
“Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 21 Julai lalu telah bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak setelah darurat berakhir pada 1 Ogos nanti.
“Setelah berunding dengan Kerajaan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Proklamasi Darurat yang akan mula berkuat kuasa pada 2 Ogos hingga 2 Februari 2022,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Terdahulu dalam satu warta Kerajaan Persekutuan yang bertarikh 30 Julai, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk menggantung PRN Sarawak ke-12 berikutan ancaman pandemik Covid-19.
Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dun sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.