BINTULU: Sarawak Energy telah melancarkan Pod Amfibia dan Reptilia pertama Sarawak sebagai salah satu pendekatan inovatif terhadap pemuliharaan yang juga merupakan kemudahan pemuliharaan ex-situ (luar tapak) pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia untuk menempatkan kira-kira 50 amfibia dan reptilia, termasuk tujuh spesies yang menjadi perhatian dari Sarawak seperti spesies baharu dinamakan yang hanya terdapat di Baleh, ditemui semasa tinjauan hidupan liar untuk empangan Baleh.
Kemudahan penternakan biosekuriti termasuk terarium yang meniru habitat semula jadi amfibia dan reptilia yang diselamatkan dan persediaan inovatif untuk tujuan pemantauan.

Amfibia dan reptilia yang disimpan untuk tujuan penyelidikan juga akan dilepaskan untuk mengenal pasti tapak pengenalan semula alternatif kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, Sarawak merupakan salah satu kawasan biodiversiti mega dunia, dan pihaknya mengambil tindakan sewajarnya untuk menyokong usaha kerajaan negeri untuk memulihara dan melindungi biodiversiti sebagai tanggungjawab bersama.
Beliau juga berkongsi peranan Sarawak Energy dalam memacu inisiatif berkaitan alam sekitar seperti pengurusan hutan yang mampan, penting untuk tadahan air dan usaha kumpulan berkenaan dalam pemuliharaan, pemulihan dan penggunaan mampan ekosistem air tawar darat.

“Kami bernasib baik kerana telah bekerjasama dengan organisasi yang mempunyai pemikiran yang sama seperti UNIMAS, Jabatan Hutan Sarawak, dan Perbadanan Perhutanan Sarawak untuk membantu Sarawak mencapai cita-cita menjadi negeri maju dan mampan menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kumpulan dalam menerima pakai amalan antarabangsa dipandu Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA).