
ADI BADIOZAMAN TUAH
Demikianlah pohon ini mengajar erti sebuah kehidupan
setia menanti ketibaan dan menyaksi pemergian hari
tabah membilang daunan usia satu satu gugur
bersama peredaran musim silih berganti bertukar wajah
tekun membilang langkah penziarah waktu lalu lalang
datang dan pergi
menyelusuri sejarah peradaban silam dan mencari makna
pada setiap kubu, arca, laman, dan kamar astana.
Betapa sukarnya untuk kulakarkan dan tafsir semula
peristiwa bersejarah itu
dalam memaknakan erti kehidupan bila yang aku lihat
adalah tinggalan kearifan purba
berada di luar jangkauan ilmu dan pengalamanku
seorang pengembara ingin belajar bijak dalam ruang
peradaban baharu yang serba mencemburui kelainan dan
perbezaan dalam segala bentuk prasangka agama dan budaya.