ARTIKEL

Pokok ganja antara rampasan dadah dalam Operasi Tapis Khas Siri 3/2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sebatang pokok ganja adalah antara rampasan dadah yang berjaya dibuat menerusi Operasi Tapis Khas Siri 3/2023 yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 10 hingga 12 Julai lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata rampasan pokok ganja itu dibuat di Miri, yang ditanam oleh individu di dalam sebuah pasu di rumahnya.

“Kita percaya dia mendapatkan benih dari Semenanjung menggunakan kurier,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, di sini sebentar tadi yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mancha Ata.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan gambar tangkapan selepas sidang media di IPK Sarawak, di sini sebentar tadi.

Selain itu, beliau berkata turut dirampas adalah 132.04 gram syabu dan 6.03 gram ketamin, menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan RM48,217.

“Rampasan dadah tertinggi bagi operasi kali ini adalah di Daerah Miri iaitu bernilai RM20,894 diikuti oleh Kuching bernilai RM4,959 dan Padawan bernilai RM3,960 dengan keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 672 orang penagih,” katanya.

Sementara, beliau berkata seramai 324 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu membekal serta memiliki dadah dan daripada jumlah itu, seramai 255 orang didapati positif dadah.

Baca lain  Sediakan kemudahan terbaik

“Mereka yang ditangkap terdiri daripada 303 orang lelaki dan 21 orang wanita berusia antara 14 hingga 56 tahun,” katanya.

Mohd Azman menambah seramai sembilan orang penagih tegar telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, katanya sebanyak 16 waran tangkap berkaitan kes dadah telah berjaya disempurnakan.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata sebanyak 163 serbuan dan 364 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sarawak dalam Operasi Tapis Khas Siri 3/2023, yang menyasarkan jeti nelayan, jeti haram, kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta ‘port’ aktif aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Katanya dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, JSJN Sarawak merekodkan seramai 5,655 orang yang ditangkap, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM127 juta dan menyita harta bernilai lebih RM3 juta.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk menyalurkan ke Hotline JSJN di 012-2087222.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU