POKOK kabung, pokok enau atau common sugar palm tergolong dalam keluarga Arecaceae. Ia berasal dari Asia Tenggara serta Australia Utara dan nama botaninya Arenga pinnata.
Pokok Kabung sejenis pokok palma yang mempunyai daun seperti bulu burung.
Batang pokoknya kukuh dan mempunyai pelepah pada pangkal setiap daun.
Manakala, bunga pokok kabung tumbuh berumpun-rumpun. Buah pokok kabung berjuntaijuntai sepanjang 1.5 meter.
Setiap tandan mempunyai 10 tangkai, dengan setiap tangkai ada lebih kurang 50 biji buah kabung berwarna hijau.
Buah kabung tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang menyebabkan kulit rasa gatal.
Buah kabung yang dipisahkan dari tangkainya biasanya direbus dalam tin minyak tanah.
Setelah direbus sejam hingga dua jam, buah tersebut dibelah dua atau tiga.
Bagi buah yang bersaiz besar terdapat tiga isi dalam setiap buah terbabit. Isi buah kabung ini direbus sehingga menjadi agar-agar liat dan berwarna putih jernih.
Agar-agar itu kemudian dimasak dengan air gula selama beberapa jam dan diberi pewarna.
Biji buah pokok Kabung yang sudah berubah menjadi agaragar yang lut cahaya ini sering kali dijadikan sebagai salah satu bahan ais kacang.
Selain buahnya, pokok kabung juga diambil niranya untuk menghasilkan gula kabung atau enau.
Kegunaan utama gula kabung adalah sebagai bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.
Di antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung/ enau ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur, cendol.
Ada juga yang menjadikan gula enau sebagai bahan masakan untuk rendang dan kuah kacang.
Pelepah pokok kabung mempunyai serat hitam yang digunakan untuk membuat penyapu dan tali.
Tangkai bunga jantan pokok kabung pula menghasilkan todi yang boleh dijadikan cuka atau gula.