KUCHING: Kehadiran anggota polis ke rumah ayah kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz di Kuching adalah benar.
Ini disahkan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani.
“Ya ada, memang benar…nanti saya bagi kenyataan lanjut,” katanya semasa dihubungi, hari ini.
Ayah Haziq hari ini mendakwa pihak polis menceroboh rumahnya.
Menurut Abdul Aziz Ibrahim, 53, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika di berada di dalam rumah bersama anak perempuannya.
“Mereka hanya mahu tanya saya tentang anak saya,” katanya seperti dipetik The Sun.
Abdul Aziz, yang membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis daerah Kuching berkata dia disoal tentang lokasi anaknya dan latar belakang keluarganya.
Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Azmin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai plot bagi merosakkan kerjaya politiknya.
Haziq, 27, yang juga merupakan ketua Pemuda PKR Santubong semalam membuat laporan polis di Kelana Jaya dan mendakwa dia bimbang dengan keselamatan dirinya.
Haziq sudah digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.