Polis buru 96 individu

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mendedahkan 96 individu dikehendaki yang terbabit dalam pelbagai kes jenayah komersial sejak tahun 2000 sehingga tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata individu diburu terdiri daripada 71 lelaki dan 25 wanita membabitkan 78 kes.

Ia merangkumi kes Macau Scam (11 individu), African Scam (6 individu), tipu menyamar (5 individu), tipu cek (4 individu), tipu internet (4 individu), tipu kebajikan (3 individu), pelaburan (3 individu), tipu tanah (3 individu), pelancongan (2 individu), tipu bomoh (1 individu), tipu Toto (1 individu) dan tipu pelbagai (35 individu).

Selain itu, katanya kes jenayah lain membabitkan pecah amanah (14 individu), Akta Jenayah Komputer (dua individu) salah guna harta (seorang) dan VCD/DVD lucah (seorang).

Menurut Mustafa, individu paling lama diburu ialah Wong Ha Huon, 39, dari Miri iaitu sejak tahun 2000 kerana terlibat dalam kes VCD\ DVD lucah.

Manakala paling dikehendaki ialah Mohd Aszlan Mat Muda, 30, dari Lundu yang merekodkan sebanyak 34 polis kerana menjalankan penipuan pelancongan dengan jumlah kerugian lebih RM126,000.

“Penama-penama ini bolehlah tampil di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Beliau menambah orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu dikehendaki ini juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kanan JSJK Sarawak ASP Pricha Azin (019-8897640),

ASP Arthur Medang Mark Baran Saging (013-7609771) dan Pegawai Risikan/ Operasi JSJK Sarawak Inspektor Hamizan Ismail (016-4455695).

Mustafa berkata individu dikehendaki paling ramai beralamat di Kuching iaitu 39 orang diikuti Miri 18 orang, selain dari Sibu, Padawan, Samarahan, Matu Daro, Mukah, Sarikei, Bintulu, Kapit, Sri Aman dan Simunjan.