KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan jenayah samun.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata ia susulan daripada satu rakaman video yang tular di media sosial hari ini, yang memaparkan seorang mangsa telah diragut oleh suspek yang menunggang motosikal dengan melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa dan kemudian melakukan samun.
“Kami sudah menerima laporan berkaitan kejadian dan sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun tanpa senjata api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis.